Tuesday, July 26, 2011

SPRM membina 36 bilik rakaman bervideo di seluruh Malaysia


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membinakan 36 bilik rakaman bervideo di semua pejabatnya di seluruh Malaysia untuk merekod percakapan tertuduh, pihak yang disiasat atau saksi menjelang akhir tahun ini. Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata ia akan dilakukan secara berperingkat dengan fasa pertama pembangunan bilik rakaman bervideo akan tertumpu kepada bangunan milik SPRM sebelum ke bangunan guna sama, kuarters atau rumah kedai.

Katanya, Ibu Pejabat SPRM di sini telah dilengkapi dua bilik rakaman bervideo sementara empat lagi di SPRM Perak.

“Bilik rakaman bervideo ini disediakan untuk memastikan rekod pernyataan dibuat secara teratur, telus dan tanpa dorongan, ancaman atau janji.

“Ia dilengkapi CCTV (kamera litar tertutup) dan audio yang kemudiannya akan disalin dalam bentuk cakera padat digital (DVD), kamera yang digunakan canggih serta dapat mendengar rakaman percakapan dengan jelas dan terang dengan bernilai kira-kira antara RM140,000 dan RM160,000 setiap satu,” katanya kepada pemberita di sini, Selasa.


Langkah ini ekoran cadangan penambahbaikan yang dicadangkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock.

SPRM juga menubuhkan Jawatankuasa Eksekutif Transformasi yang bertanggungjawab meningkatkan prestasi kualiti, pentadbiran mekanisme penyeliaan, memantau dan melaksanakan reformasi sktruktur serta pengurusan SPRM, keberkesanan siasatan, memantapkan pencapaian fungsi operasi melalui pembangunan modal insan selain memajukan keupayaan siasatan perakaunan forensik.

Dalam pada itu, Mustafar berkata, setiap sesi temuduga yang dirakam akan disediakan dalam tiga salinan iaitu untuk mahkamah, saksi atau suspek dan SPRM.

“Untuk tujuan itu seramai 56 pegawai SPRM telah dilatih untuk mengendalikan bilik rakaman bervideo selain dilatih oleh pihak berkuasa pencegahan rasuah Hong Kong yang berpengalaman mengendalikan bilik itu,” jelasnya.

Share :
Like or Dislike?


0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More