Kerajaan Negeri Selangor menganjurkan Program 'Jom Shopping' kepada warga emas yang berusia 60 tahun ke atas bagi menghargai jasa mereka di samping mengukuhkan hubungan akrab di antara rakyat dan pemimpin.
Kempen tersebut yang dilancarkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 15 Julai di Pasaraya Tesco Kuala Selangor melibatkan 55 warga emas yang terpilih dari DUN Ijok.
"Program 'Jom Shopping' ini adalah bertujuan agar pemimpin dapat bermesra dan bertanya khabar dengan warga emas berkenaan dalam masa dua jam di samping kupon bernilai RM 100," kata Tan Sri Abdul Khalid.
DUN Ijok dipilih sebagai perintis program ini di mana Menteri Besar juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan tersebut.
Sejak mengambil alih Kerajaan Negeri Selangor pada 8 Mac 2008, Kerajaan Pakatan Rakyat (pakatan) memulakan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) bagi mengagihkan kekayaan negeri Selangor kepada seluruh warga Selangor tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang.
Program ini juga merupakan kesenimbungan bantuan Skim Mesra Usia Emas yang terangkum dalam program MES di mana kerajaan negeri menyumbang sejumlah RM 2500 kepada penama warga emas yang meninggal dunia dan telah berdaftar.
RM 1,000 akan diberikan selepas menerima laporan kematian serta dokumen lengkap diserahkan dan pengesahan sudah dibuat. Baki RM 500 akan diserahkan dalam tempoh 60 hari selepas penyerahan bayaran pertama dibuat dalam satu majlis khas.
Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri, Rodziah Ismail semasa perbahasan Sidang Dewan Negeri di sini menjelaskan, konsep program ini berkata, warga emas yang menyertai program ini akan disediakan pengangkutan bas untuk pergi ke pusat membeli-belah yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Dana untuk program ini adalah sebanyak RM 5 juta yang akan dibiayai oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd dan disalurkan Menteri Besar Incorporated (MBI)," katanya.
Menurut Rodziah, tujuan program ini diharap mampu memikat warga emas yang kebanyakan kini banyak menghabiskan masa di rumah.
"Jadi kita mengharapkan dengan adanya program ini, mereka boleh bersosial dan keluar rumah dengan pimpinan kawasan ataupun dengan pihak-pihak yang menguruskan program ini untuk pergi ke pasar raya yang ditentukan untuk berbelanja," katanya.
Konsep program ini adalah mereka yang terpilih ini akan dihubungi oleh pusat khidmat dan mereka yang bersetuju untuk terlibat akan dikumpul dan dibawa ke pasar raya terpilih. Setakat ini pasar raya yang bersetuju untuk menyertai program ini adalah Tesco, Econsave dan Giant.
Menurut Rodziah lagi, program ini akan memberi kebebasan kepada warga emas untuk membeli barangan yang diperlukan tanpa ada sekatan. Program ini kita tidak paksa atas warga emas yang tidak mampu dari sudut fizikal atau uzur.
0 comments:
Post a Comment