Lima anggota polis berpangkat konstabel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 16 dakwaan merompak secara berkumpulan 16 warga Bangladesh pada 8 Ogos lalu.
Mohd. Afizi Mohd. Nasir, 27; Muhammad Hairey Muhammad Puzi, 21; Azrin Adha Abdullah, 25; Mohd. Faiz Muhammad, 25; dan Mohammad Firdaus Jamaludin, 20, didakwa melakukan rompakan ke atas kesemua mangsa yang berumur antara 20 dan 40 tahun di rumah No. 52, Jalan Nagasari, Dang Wangi di sini pada pukul 12.01 pagi 8 Ogos lalu.
Kesemua tertuduh yang bertugas di Bahagian Tugas Am dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi didakwa merompak wang tunai dan 19 telefon bimbit yang kesemuanya berjumlah RM34,516 milik pekerja buruh binaan itu.
Pertuduhan ke atas kesemua tertuduh dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurmardiana Mamat menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh namun peguam Mohamad Arfizi Mohd. Ramli yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan itu dikurangkan kepada RM10,000 dengan alasan kesemua mereka merupakan penanggung tunggal keluarga.
"Saya juga merayu pada bulan Ramadan yang mulia ini supaya kesemua mereka diberi peluang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma bersama keluarga masing-masing," katanya.
Hakim Zulhazmi Abdullah membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 September ini untuk sebutan semula kes.
4 comments:
Semoga Imej PDRM akan sentiasa Cepat, Mesra dan Betul akan direalisasikan
Kesian gak pada warga Bangla yang kena samun tue
Bulan yang mulia , perompak yang suci, hakim yang terhormat, rakyat yang bodoh!
kepada semua rakyat malaysia ,kamu boleh melakukan pelbagai jenayah dalam bulan yang mulia ini ,dan akan diberi layanan istemewa jika ditangkap kerana bulan ini adalah bulan yg mulia kata daripada seseorang hakim !wuhui ,1 malaysia bagus ,cuma rakyat saja bodoh !
Post a Comment