Saturday, August 20, 2011

Sidang Media Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 19 Ogos 2011


Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memaklumkan bahawa ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) menyokong keputusan yang dibuat oleh kerajaan untuk mewujudkan sebuah jawatankuasa terpilih Parlimen mengenai pembaharuan dan penambahbaikan pilihan raya sebagaimana yang diumumkan Isnin lalu.

Katanya, sokongan terhadap penubuhan jawatankuasa ini bukanlah satu pengakuan bahawa wujudnya kelemahan besar pada kesahihan proses pilihan raya yang dilakukan di negara ini.

"MT menegaskan demokrasi berparlimen adalah prinsip perjuangan UMNO selama ini, dan sokongan ini juga adalah kesahihan kredibiliti kita tidak seharusnya dipersoalkan sebab kita telah buktikan bahawa tidak ada manipulasi dalam pilihan raya sama ada dari segi undi yang dilakukan atau pun senarai daftar pemilih," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MT.

Jelas beliau yang juga Perdana Menteri, mungkin ada sedikit individu tertentu yang boleh menjadi pertikaian tetapi terserah pada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membuat pengumuman berkaitan nama-nama tersebut yang nampaknya pihak pembangkang ada kencederungan untuk membangkitkan individu tertentu.

"Pilihan raya boleh diadakan bila-bila masa dan tidak ada kaitan dengan jawatankuasa Parlimen ini," katanya yang turut menjelaskan bahawa parti majoriti yang akan memimpin tetapi akan mendapat penyertaan dari semua parti di Parlimen.

Beliau yang juga Perdana Menteri turut membidas pembangkang yang menyalahkan UMNO berkaitan isu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan gereja di Damansara.

"Macam mana UMNO hendak arahkan orang berkaitan isu gereja itu sedangkan JAIS di bawah siapa, bukan bawah UMNO, yang melakukan itu siapa, bukan orang UMNO. Tuduhan tak masuk akal yang melulu seperti ini dibuat oleh mereka kepada UMNO," katanya.

Terang beliau lagi, isu tersebut adalah soal negeri bukan soal Persekutuan dan dari segi pendirian UMNO adalah jelas.

"Kita faham berdasarkan Perlembagaan Malaysia iaitu agama Islam adalah agama Persekutuan dan tidak ada sesiapa yang boleh menodai kesuciannya termasuk untuk memaksa atau untuk cuba memesongkan akidah kepada mana-mana rakyat Malaysia yang beragama Islam tetapi dalam pada itu agama lain bebas untuk diamalkan di negara kita."

Dalam sidang media tersebut, beliau turut memaklumkan tentang beberapa urusan dalaman parti termasuk keahlian UMNO terkini.

"Keahlian UMNO ialah seramai 3,277,444 orang dengan negeri teramai ialah Sabah (483,013) diikuti Johor (450,004) dan Selangor (428,525).

Selain itu, beliau turut mengumumkan pemecatan seorang ahlinya berdasarkan kepada Perlembagaan parti.

"Perlembagaan UMNO Fasal 20.10 menyebut bahawa seorang ahli yang bertanding sebagai calon bebas atau parti lawan dalam pilihan raya akan dipecat daripada parti dan tidak boleh diterima balik sebagai ahli selama-lamanya.

"Jadi berdasarkan kepada peruntukan ini maka seorang ahli UMNO bahagian Selayang iaitu Datin Dayang Juliana Awang Tambi telah bertanding sebagai calon bebas dalam PRU Dewan Undangan Negeri Sarawak atas calon bagi Parti Cinta Malaysia, jadi berdasarkan kepada peruntukan ini maka keahliannya gugur serta-merta."

Perdana Menteri juga turut memberitahu berkaitan Forum Antarabangsa yang akan diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2011 akan datang.

"Sepertimana yang dilakukan pada tahun lalu maka MT mengambil keputusan bahawa peserta-peserta yang dijemput dari parti luar hendaklah dipelbagaikan untuk meliputi parti-parti yang berkuasa atau pun yang mempunyai kedudukan di negara-negara tertentu supaya mereka faham akan hal tuju dan dasar-dasar yang diperjuangkan oleh UMNO," katanya.

Jelasnya antara parti-parti politik yang akan dijemput akan melibatkan United Kingdom, Maldivies, Madagascar, Amerika, Kesatuan Eropah dan juga ahli-ahli Jawatankuasa Bertindak ICAPP.

Share :
Like or Dislike?


0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More